Aku dilahirkan dalam keadaan telanjang. Tiada seurat benang pon menutupi tubuhku. Hari demi hari, tuan mengurutku, tanpa rasa jemu. Aku dapat melihat cahaya bersinar dari mata nya, seakan inginkan terbaik untukku. Aku suka, walaupun aku sebuah blog.
Tuan menghadiahkan pakaian berbentuk theme. Cabut pasang, cabut pasang, tuan ghairah melihat corak yang beraneka. Akhirnya tuan memilih reka bentuk ini. Walaupun hodoh, aku gembira, tuan memberikan perhatian kepadaku walaupun ‘taste‘nya kurang menyengat.
Tuan juga telah memperkenalkan widget serta plugin. Walaupun telah berkali aku berpesan, bahawa itu ini tidak sesuai dan stabil. Tuan tetap degil. Aku ini hamba, aku turutkan aja.
*Error: Cannot Connect to MySQL*
Terpapar pula masalah dicorong LCD ini, tuan mencaci, menghina aku. Aku pasrah, terima seadanya walaupun tali ikatan jumping jacks itu bukan kepunyaan ku.
Setelah marahnya reda, tuan mula memperelokku perlahan-lahan sambil berkumat kamit. Entah apa yang dijampikannya, aku angguk sahaja, aku ini pekak.
Nasib aku baik, tuan berjaya mengembalikan penampilan ku yang tidak begitu tampan. Aku gembira menatap lirikan serta senyuman tuan. Aku bangga dengan tuan dan sikapnya yang tak kenal erti kalah.
Hari demi hari, tuan mengetik papan kekunci. Entah apa yang diceritakannya aku pon tak tahu, maklumlah, bahasa yang aku fasih hanya sekadar PHP dan CSS.
Setiap kali tuan tekan butang terbit, pasti ada komen. Tuan kelihatan gembira sekali tetapi beliau tidak sedar, yang berusaha keras itu aku. Yang berdiri tegak semalaman itu aku. Yang menerima ribut trafik itu aku. Yang dijolok-jolok itu aku.
Namun beberapa hari lalu, tuan telah memutuskan untuk meninggalkanku. Hati ku jatuh ke tanah ibarat nangka busuk bergolekan ke tepi longkang. Aku sedar, aku hanya sebuah blog.
Alasan tuan, dia mahu menumpukan kerjayanya. Sejauh mana aku berantak sekalipun, tuan tetap akan meminggirkanku. Lebih baik aku tunduk dan akur, walaupun aku masih lagi terpinga-pinga. Aku sebuah blog, tidak punyai keperluan.
Aku hiba. Selama ini aku didukung dalam tawa dan riang, dalam sedih dan resah, kini dibiarkan bersawang
ps: Hari ini aku ada tuan baru. Siapakah beliau?
No comments:
Post a Comment